Blogger Backgrounds

Tuesday 8 November 2011

5 TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN





Apabila tiba musim peperiksaan tentu ada diantara adik-adik yang rasa gementar, gelisah dan pelbagai perasaan lain yang tidak menyenangkan. Apakah sebabnya? Adakah kerana tidak bersedia? Ataupun bimbang soalan yang bakal adik-adik terima itu sukar? Persoalan itu hanya adik-adik sahaja yang boleh menjawabnya.
Tetapi adik-adik jangan bimbang, kami mungkin boleh memberi beberapa tips yang boleh adik-adik gunakan ketika menghadapi peperiksaan. Berikut merupakan 5 tips menghadapi peperiksaan yang boleh adik-adik cuba:

1. Mengulangkaji pelajaran

Ya, tidak dinafikan lagi memang benar, jika kita tidak bersedia kita akan merasa gementar lebih-lebih lagi jika kita belum lagi mengulangkaji pelajaran. Tentu perasaan gementar muncul apabila merasakan ilmu masih belum cukup. Kerana itu adik-adik tidak digalakkan untuk belajar disaat-saat akhir. Pastikan adik-adik selesai mengulangkaji pelajaran beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Belajar dan fahami, bukan belajar semata-mata untuk menghafal ya! Gunakan baki hari yang ada untuk menyemak nota-nota kecil untuk menguatkan lagi ingatan adik-adik.

2. Buat persiapan awal

Apa yang akan berlaku jika tiba-tiba ketika menjawab soalan peperiksaan, pensil adik-adik tumpul tetapi tiada pengasah pensel? Tentu adik kelam-kabut meminjam dari rakan bukan? Tentu sekali pada ketika itu adik-adik akan merasa gementar, dada adik-adik akan berdebar. Jadi apakah kesannya kepada diri adik-adik? Adik-adik akan “blank”! Perasaan gementar tadi akan mempengaruhi diri membuatkan adik-adik lupa sebentar tentang peperiksaan yang diduduki. Perkara ini perlu dielakkan.
Pastikan adik-adik menyediakan alatan yang secukupnya beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Periksa dan pastikan slip peperiksaan ataupun alat-alat yang perlu dibawa ada bersama adik-adik pada malam sebelum peperiksaan bermula. Barulah adik-adik boleh menjawab dengan tenang :)

3. Tidur awal dan rehat secukupnya

Rehat yang secukupnya adalah penting bagi pelajar kerana berfikir memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi. Jadi jika tubuh adik-adik lemah dan tidak bertenaga, keupayaan adik-adik untuk melontarkan buah fikiran ataupun menjawab soalan peperiksaan akan terjejas. Pada malam peperiksaan, adik-adik harus tidur awal. Elakkan dari bersukan sehari sebelum peperiksaan kerana dikhuatiri adik-adik akan terlalu penat sehingga mengganggu keupayaan adik-adik untuk menjawab peperiksaan.

4. Semak jadual betul-betul!

Adalah sangat-sangat penting bagi adik-adik untuk menyemak jadual peperiksaan sebaik mungkin. Jangan tersilap! Ini kerana masalah akan timbul dari segi persediaan adik-adik untuk menjawab peperiksaan. Kadangkala waktu peperiksaan tidak sama menyebabkan adik terlepas dari menduduki peperiksaan tersebut. Bagi mengelakkan kekeliruan pastikan adik-adik tanya pada guru adik-adik dan periksa jadual yang diberi bersama rakan bagi memastikan adik-adik tidak tersilap.

5.Berdoa dan bertawakal

Akhir sekali, kita hanya mampu merancang tuhan yang menentukan. Selepas kita berhempas pulas belajar, apa yang adik-adik perlu lakukan adalah bertawakal kepada Allah dan sentiasa berdoa untuk kejayaan diri adik-adik. Pastikan adik-adik mendoakan kejayaan rakan-rakan yang lain juga. Jika adik-adik tidak mendapat apa yang diinginkan apabila mengambil keputusan nanti, bersyukur sahaja atas apa yang adik dapat. Kerana walau apapun keputusannya, ianya adalah anugerah dari Allah. Yang penting bagi kita umat Islam adalah jangan buruk sangka pada Allah, setiap apa yang Allah lakukan kepada kita ada sebabnya. Ada hikmah disetiap kejadian yang berlaku.
Kami di Innovology berharap artikel ini dapat membantu adik-adik ketika menduduki peperiksaan nanti. Selamat maju jaya Innovology ucapkan! InsyaAllah :)

Saturday 5 November 2011

Ciri-ciri Pelajar yang Cemerlang

Ciri-ciri Pelajar yang Cemerlang

Optimistik

Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!



Jangan bersikap pesimistik

Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

Kesedaran memikul tanggungjawab

Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

Tumpuan sepenuh hati

Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.



Mulakan dari awal

Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.

Sentiasa bersedia

Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'



Lengkapkan peralatan

Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?

Sunday 23 October 2011

Kata-Kata Hikmah Untuk Motivasi Diri

*Berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi paling baik. (Larry Bielat)

*
Manusia cemerlang fokus kepada kerja penting walaupun tidak seronok. Sementara manusia lemah fokus kepada kerja seronok walaupun tidak penting. (Dr. Shukri Abdullah)

*
Kejayaan bergantung kepada apa yang anda lakukan dengan diri anda. (Ron Jenson)

*
Kegagalan bukan muktamad. Kita gagal kerana terlalu cepat mengaku kalah dan mudah putus asa. (Lewis Timberlane)

*
Tidak ada kemajuan tanpa perubahan. Mereka yang tidak boleh mengubah pemikiran tidak boleh mengubah apa-apa. (George Bernard Shaw)

*
Musuh utama kecemerlangan bukanlah kekurangan fizikal, sosial atau ekonomi tetapi mental. (Dr. Shukri Abdullah)

*
Saya tidak kalah apabila saya berada di bawah. Saya hanya kalah sekiranya saya tidak bangun semula dari bawah. (Dr. Shukri Abdullah)

*
Buatlah apa yang anda mampu buat, dengan apa yang anda ada dan di mana sahaja anda berada kerana tiada alasan di dalam kamus pemburu kejayaan. (Henry Truman)

*
Secara semulajadi semua manusia itu sama, tetapi ilmu menjadikan mereka cukup berbeza. (Bidalan Cina)

*
Rancanglah masa depan anda kerana di situlah anda akan menghabiskan hidup anda. (Dr. Shukri Abdullah)

*RAJIN
itu adalah punca segala kejayaan dan MALAS pula punca segala kegagalan. (Dr. Shukri Abdullah)

*
Rahsia kejayaan cuma ada dua perkataan, TRY (cuba lagi) HARDER (lebih kuat). (J.P Ghetty – Billionaire)

*
Memulakan sesuatu itu adalah hebat tetapi menyelesikannya adalah lebih hebat! (H.W Longfellow)

*
Kebanyakan orang gagal bukan kerana bodoh tetapi mereka gagal kerana melakukan kerja bodoh. (Dr. Shukri Abdullah)

*
Manusia yang berakal ialah manusia yang suka menerima dan meminta nasihat. (Saidina Umar Al-Khattab)

*
Kemahuan adalah umpama orang buta yang perkasa mendukung orang lumpuh yang dapat melihat. (Arthur Schopenauer)

*
Kesusahan yang dialami kerana berusaha untuk berjaya hanya sekejap sahaja kemudian akan senang seumur hidup. (Ibnu Yusuf)

*
Tidak ada manusia yang dengan sendirinya menjadi cerdik. (Dr. Shukri Abdullah)

Friday 7 October 2011

Jasa Guru

Salam sejahtera pembuka bicara,
Kepada anda pengunjung setia,
Inilah pantun nasihat dari saya, 
Untuk panduan kita bersama.

Pak Salleh memasang bubu,
Ketika petang cuaca redup,
Kalau tuan ingin tahu,
Ilmu itu penyuluh hidup.

Makan sireh duduk bersila,
Sambil duduk bergurau senda,
Sekiranya ilmu penuh didada,
Hidup tidak gelap gelita.

Mak Munah pergi ke perigi,
Pergi bersama anaknya Siti,
Tuntutlah ilmu setiap hari,
Untuk kesenangan diri sendiri.

Cik Ani menanam bunga,
Bunga ditanam di tepi halaman,
Ilmu itu besar nilainya,
Harta dunia bukan tandingan.

~Kasih Sayang~



Apabila Kasih Sayang Guru mencurahi jiwaku
Aku dilahirkan semula menjadi anak muda.
Jangan tanyaku apa sebabnya:
Sebab bukan logik KASIH SAYANG!


Saya ialah pemipit alam semesta.
Menyuarakan secara terbuka
Kesedihan dan kesakitan mereka
Kehidupan demi kehidupan dalam roda kematian yang tak berhenti pusing.
Berdoa, Guru yang Berbelas Kasihan
Lekas! hentikannya.

Berkat anda mencurahi semua orang.
Yang buruk dan yang baik, yang cantik dan yang hodoh,
Yang ikhlas dan yang tak layak,
Serupa!
Oh Guru, tidak dapat kunyanyikan pujian-Mu.
Kasih sayang-Mu kupeluk dalam hatiku,
Dan tidur bersamanya tiap-tiap malam

Guru

Cikgu, guru itulah panggilan yang diberikan kepadamu
Kau mendidik anak bangsamu dengan ketulusan hatimu
Kau berdedikasi untuk mengajarkan yang terbaik
Untuk melahirkan anak didik yang boleh berjaya suatu hari nanti

Guru, kau seorang insan yang teristimewa
Baktimu kalahkan bak gunung Everest
Jasamu tidak ternilai harganya
Kau bak sebatang lilin yang sering menyinari kegelapan muridmu

Guru, betapa kau dihormati oleh segala lapisan masyarakat
Tugasmu begitu mencabar dan jiwamu begitu kental
Setiap hari kau akan berdepan dengan pelbagai cubaan
Namun rintangan yang mendatang kau dapat menangkisnya

Guru, kau seorang yang tegas dan berwibawa
Ketabahanmu membuat kau sentiasa redha
Kau berkaliber dan berhati mulia
Kau sering dijadikan cermin oleh anak didikmu

Guru, kau seorang yang bersemangat waja
Kesabaranmu membuat kau betah untuk meneruskan perjuanganmu
Demi membela anak bangsamu untuk maju ke hadapan
Kau sememangnya seseorang yang patut dihargai

Semoga Hari Guru ini akan membuat kau bahagia dan gembira
Doaku agar kau sekalian diberi rahmat dan hidayah dari Illahi
Dengan melaksanakan tugasmu sebagai seorang guru
Teruskanlah perjuanganmu, wahai insan yang bergelar GURU...

^_^


Jangan baca jer!!komenlah